REAL MADRID 1 GIRONA 1

Carlo Ancelotti menuduh pengadil, Mario Melero Lopez, sengaja mencipta satu alasan untuk menghadiahkan Girona sepakan penalti untuk mengikat Real Madrid 1-1.


Los Blancos kembali memintas Barcelona di tangga teratas tetapi keciciran mata buat kali kedua dalam LaLiga musim ini.

Vinicius Junior meletakkan juara bertahan itu di depan pada minit ke-70 dalam pertemuan di Santiago Bernabeu berkenaan awal pagi tadi, namun Cristhian Stuani menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.


Melero Lopez mengesan bola terkena tangan Marco Asensio di dalam kotak penalti sebaik pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR) selain lebih banyak drama lagi tercetus pada lewat permainan, yang menyaksikan jaringan Rodrygo dibatalkan berikutan penjaga gol, Paulo Gazzaniga, dianggap telah menguasai bola dengan sebelah tangannya ketika penyerang itu menolaknya ke dalam gawang.


Kekalutan itu menyaksikan Toni Kroos dibuang padang buat kali pertama sepanjang 15 tahun karier kelabnya, justeru Ancelotti berasakan mereka tidak menerima layanan adil.

Pengurus Madrid itu berkata: "Saya tidak gemar bercakap tentang pengadil tetapi hari ini saya akan bercakap.

"Saya telah bercakap dengan Asensio dan sangat jelas bahawa dia tidak menyentuh bola dengan tangannya, ia mengenai bahagian dadanya.

“Memang kedudukan tangan kirinya agak pelik, tetapi ia menutup badannya,. Mungkin ada keraguan andai dia menyentuhnya, sebaliknya dia langsung tidak menyentuh bola itu dengan tangannya. Sepakan penalti ini sengaja direka."

Ancelotti mengakui Madrid gagal mencapai standard yang diharapkannya selepas mereka tewas di RB Leipzig dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Pengurus berbangsa Itali itu menjangkakan tindak balas apabila anak buahnya ketika menentang Celtic awal pagi Khamis ini yang menyaksikan penyandang juara itu berpekuang mengesahkan tangga teratas Kumpulan F.

Dia berkata: “Kami tidak berada pada tahap seperti minggu lalu, kami menghadapi beberapa masalah termasuk menguruskan pemain yang tercedera seperti Rodrygo, Luka Modric, Aurelien Tchouameni.

"Kami mengharungi banyak perlawanan dan kami berasa letih. Jadual padat telah banyak memberi kesan kepada kami. Kami mempunyai peluang menjamin kedudukan tangga teratas dan sasaran kami adalah untuk menjuarai kumpulan.

"Pada masa ini segala-galanya di dalam kawalan buat kami."