ATHLETIC BILBAO 1 REAL MADRID 2

Carlo Ancelotti berpuas hati dengan prestasi pendahulu LaLiga, Real Madrid, setakat separuh kempen musim ini tetapi memberikan amaran bahawa perjalanan mereka pasih panjang untuk memburu gelaran liga.

Dua gol daripada Karim Benzema dalam separuh masa pertama membolehkan Madrid menewaskan Athletic Bilbao 2-1 di San Mames awal pagi tadi, sekali gus menjadikan penyerang itu sebagai pemain keempat -- termasuk Lionel Messi (sembilan kali) dan Cristiano Ronaldo (tujuh kali) -- menjaringkan lebih daripada 30 gol dalam satu kalendar tahunan.

Toni Kroos membantu jaringan pertama Benzema pada minit keempat -- bantuan jaringan ke-77 pemain kebangsaan Jerman itu dalam kesemua kejohanan buat Los Blancos sejak menyertai pasukan itu dalam musim 2014-15 -- sebelum Benzema menggandakan kelebihan itu pada minit ketujuh.

Pasukan bimbingan Ancelotti itu -- yang kehilangan beberapa pemain utama seperti David Alaba dan Isco berikutan jangkitan COVID-19 -- berhasil mempertahankan kelebihan mereka untuk kini berkelebihan lapan mata di depan pencabar terdekat, Sevilla, menjelang 2022.

Pengendali berbangsa Itali itu, yang mengekalkan rekod kemenangan bersih sepanjang pertemuan dengan pasukan bimbingan Marcelino, memberitahu wartawan betapa dia berbangga dengan prestasi pasukannya biarpun tempang tanpa beberapa pemain utama.

"Kemenangan ini amat bermakna buat kami kerana kekangan COVID dan kerana bersaing dalam perlawanan ini dengan pasukan yang tidak biasa beraksi bersama.

"Kita perlu menekankan perkara ini, ia adalah perlawanan buat Nacho, Lucas (Vazquez), (Eduardo) Camavinga, (Eden) Hazard, (Federico) Valverde... Mereka memperoleh permainan yang hebat.

"Sepanjang masa, ia adalah satu perlawanan yang penuh dengan kualiti dan komitmen, itulah perkara terpenting buat saya, hampir sama seperti pungutan tiga mata yang sentiasa bernilai," katanya.



Ditanya mengenai kedudukan pasukannya dan pemburuan gelaran LaLiga musim ini, Ancelotti berkata: "Kami telah melakukannya dengan amat baik tetapi masih ada baki perlawanan sehingga penghujung musim ini. Setakat ini semuanya baik.

"Kita akan melihat jika ada sesuatu untuk dimenangi, itu adalah keperluan kelab ini.

"Tetapi kami kini dapat berehat selama seminggu, kami layak untuk mendapatkannya," katanya lagi.

San Mames merupakan laman kegembiraan buat Madrid, di mana mereka tidak pernah tewas sepanjang tujuh perlawanan liga terakhir di Bibao -- rekod tanpa kalah terbaik mereka.

Skuad bimbingan Ancelotti itu seterusnya akan bertandang ke Getafe selepas waktu rehat pertengahan musim pada 2 Januari depan.