Penyerang veteran Sabah FC, Amri Yahyah, membuktikan kemampuannya masih relevan selepas menjaringkan dua gol bagi memastikan kemenangan 2-1 ke atas Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Hadir ke dalam perlawanan dengan rentak cemerlang apabila merekodkan kemenangan 4-1 ke atas Penang FC 26 Julai lalu, Melaka United dilihat bermula garang dengan melancarkan serangan berbahaya ke arah benteng pertahanan Sabah.

Penyerang import, Ifedayo Olusegun, memanfaatkan peluang di depan pintu gol Sabah FC bagi membuka jaringan pada minit ke-23.

Tersentak, Sabah mula mengatur kembali gaya permainan dalam usaha mendapatkan menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun asakan-asakan yang dihasilkan gagal menepati sasaran bagi menyaksikan pelawat selesa memimpin perlawanan hingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Sabah FC semakin terdesak memburu jaringan hasilnya, Amri yang dimasukkan pada babak kedua berjaya meledak gol penyamaan hasil rembatan padu dalam kotak penalti pada minit ke-64.

Gol berkenaan dilihat mula menyemarakkan semangat kesebelasan Sabah FC untuk terus mengasak bagai menambah jaringan dan peluang terbaik hadir pada minit ke-78, namun pemain gantian Farhan Roslan gagal memanfaatkan peluang di depan pintu gol tuan rumah.