Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, mengakui bahawa musim ini bukanlah "waktu mudah" buat pasukannya tetapi kemenangan 2-0 ke atas Salernitana awal pagi tadi adalah tentang membalas budi kelab itu.

Allegri mengakui Bianconeri sudah terkeluar daripada perebutan gelaran Serie A musim ini selepas tewas 0-1 kepada Atalanta di laman sendiri Sabtu lalu.

Juve meraih kemenangan ketujuh sepanjang musim ini dengan menewaskan Salernitana untuk kini melonjak ke tangga ketujuh dengan 24 mata selepas 15 perlawanan.

"Ia bukanlah waktu yang mudah, kami tewas kepada Atalanta dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol hari ini," kata Allegri kepada wartawan selepas perlawanan itu.

"Saya boleh katakan bahawa Juventus telah memberikan kami segala-galanya dan ini adalah masa untuk mengambil tanggungjawab dan membalas budi kelab ini.

"Kami perlu fokus kerana kami kerap kalah kepada kelab yang lebih kecil sepanjang musim ini.

"Saya memberitahu pemain bahawa ramai pemain muda di atas padang hari ini, jadi pada waktu ini, mereka akan rasakan tekanannya. Mujurlah mereka dapat melakukannya dengan baik.

"Kami buat masa ini ketinggalan dalam liga kerana kami kerap keciciran mata.

"Kami mempunyai pemain berbakat tetapi usah dilupakan bahawa hanya dengan pengalaman, menjadikan kesilapan sebangan pengajaran, memahami waktu yang sesuai untuk menyerang dan bertahan, dapat membantu perkembangan mereka," katanya.

Allegri, yang menggantikan Andrea Pirlo pada Mei lalu selepas kempen hambar musim 2020-21, menuntut lebih kesabaran buat pasukannya.

"Kebiasaannya, kita akan mengalami naik dan turun. Saya masih mengenali pemain dan mereka juga masih mengenali saya dan kami bermain setiap tiga hari.

"Kami mencapai sasaran utama untuk meloloskan diri dalam Liga Juara-Juara Eropah. Kini, kami memerlukan lebih masa untuk mengusahakannya dalam latihan.

"Semua berubah, orang datang dan pergi tetapi Juventus tetap dan sentiasa ada.

"Hidup ini ibarat roda dan ia perlu diterima sebagai satu cabaran.

"Saya menerima cabaran ini dengan mengetahui ia sesuatu yang sukar kerana amat mustahil untuk menang lebih daripada sembilan tahun berturut-turut, itu sudah pasti.

"Kini, kami perlu mengambil tanggungjawab untuk mewakili Juventus dan meletakkan impian setinggi yang mampu," katanya lagi.