Alisson Becker memberi amaran Liverpool agar tidak mencipta alasan berhubung prestasi di bawah par mereka ketika menentang Leicester City sambil menyasarkan peningkatan di Brentford.

Dua gol sendiri oleh Wout Faes menyaksikan The Reds kemenangan 2-1 ke atas The Foxes di Anfield, kelmarin yang merupakan kemenangan keempat berturut-turut mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, anak buah Jurgen Klopp itu dikritik atas persembahan mereka selepas ketinggalan kepada jaringan awal Kiernan Dewsbury-Hall selain kelihatan goyah di bahagian belakang.

Liverpool mempunyai peluang untuk memintas Tottenham yang berada di tangga kelima apabila mereka melawat Stadium Komuniti Brentford, awal pagi esok, dan penjaga gol itu menggesa rakan sepasukannya agar melakukan yang lebih baik.

“Satu-satunya perkara yang kami boleh ambil iktibar pada Jumaat (Sabtu) lalu ialah kemenangan dan usaha yang kami lakukan di atas padang,” kata pemain antarabangsa Brazil itu kepada LFC TV.




"Tetapi masih terdapat banyak ruang untuk diperbaiki. Berdasarkan prestasi, kami perlu melakukan lebih baik lagi jika cita-citanya adalah demi terus mencapai matlamat yang ada di hadapan kami.

“Kami menaruh jangkaan yang tinggi dan penyokong meletakkan harapan yang tinggi terhadap kami.


"Liverpool adalah sebuah kelab besar yang akan sentiasa cuba berjuang merebut kejuaraan dan sepanjang masa berada di puncak. Kami perlu berusaha lebih keras lagi dan kami menyedarinya.

"Kami tidak boleh bergantung kepada sebarang alasan. Ia hanya perlawanan kedua kami selepas Piala Dunia. Pemain yang mempunyai tempoh rehat menggunakan kesempatan ini untuk mempersiapkan diri, manakala pemain yang mengikuti Piala Dunia berlatih dan kemudian berehat untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi baki kempen musim ini.

"Ia akan menjadi detik penting musim ini dan kami perlu fokus. Kami perlu melakukan yang lebih baik lagi.

"Kadang-kadang ia hanya mengenai soal mentaliti. Bukan semudah itu untuk mengubahnya tetapi kami pasti boleh melakukannya."

Untuk rekod, Liverpool telah menjaringkan tiga atau lebih gol dalam lima pertemuan terakhir dengan Bees.