Real Madrid mengesahkan bahawa David Alaba dan Isco diuji positif COVID-19.

Dua pemain itu menjadi pemain terbaru Real Madrid dijangkiti virus berkenaan, menjadikan keseluruhan lapan kes positif melibatkan pemain sepanjang seminggu ini.

Khamis lalu, Los Blancos mendedahkan bahawa Luka Modric dan Marcelo tepaksa menjalani pengasingan selepas ujian saringan yang dilakukan mengesan mereka dijangkiti.

Sehari kemudian, Gareth Bale, Marco Asensio, Rodrygo dan Andriy Lunin turut didapati positif bersama anak kepada Carlo Ancelotti, yang merupakan pembantu teknikal pasukan itu, Davide.

Kesemua mereka tidak akan menyertai kunjungan Madrid ke San Mames bagi pertemuan dengan Athletic Bilbao awal pagi esok.

Pasukan bimbingan Ancelotti itu kini berkelebihan lima mata di puncak LaLiga selepas mengumpulkan 43 mata daripada 18 perlawanan.