CHELSEA 1 REAL MADRID 3

Thomas Tuchel menyelar prestasi babak pertama Chelsea dalam kekalahan kepada Real Madrid, awal pagi tadi, sambil menyifatkan ia sebagai antara yang paling teruk yang pernah disaksikannya di Stamford Bridge.


Penyandang gelaran Liga Juara-Juara (UCL) itu berdepan tugas perit menjelang pertemuan timbal balik suku akhir selepas terkulai 1-3 kepada Madrid yang diilhamkan oleh Karim Benzema.

Hatrik Benzema itu terbukti penting untuk membolehkan bekas pengurus The Blues, Carlo Ancelotti -- bertolak ke London semalam sebaik diuji negatif COVID-19 -- menikmati kemenangan sekembalinya dia ke sana.

Pemain antarabangsa Perancis itu meletakkan Los Blancos dalam kawalan penuh menerusi dua tandukannya dalam separuh masa pertama -– di mana tuan rumah hanya memenangi 14 daripada 36 perlawanan -– sambil memanfaatkan kesilapan Edouard Mendy untuk melengkapkan hatriknya sejurus perlawanan bersambung.

Ia kekalahan berturut-turut di tempat sendiri buat pasukan kendalian Tuchel itu yang turut dibelasah 1-4 oleh Brentford dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), hujung minggu lalu.

Aksi seterusnya melibatkan The Blues ialah kunjungan ke Southampton hujung minggu ini sebelum perlawanan timbal balik di Santiago Bernabeu, Rabu depan.




Pengurus berbangsa Jerman itu tidak berselindung terhadap penilaian prestasi anak buahnya dan khuatir dengan kesannya sekiranya pemainnya tidak meningkatkan tahap persembahan mereka.

Dia memberitahu BT Sport: "Ia adalah satu kekalahan yang perit. Ia adalah salah satu babak pertama yang paling teruk yang saya pernah lihat di Stamford Bridge. Baik secara individu mahupun sebagai satu pasukan, ia tidak memadai.

“Separuh masa pertama jauh daripada mana-mana standard yang kami tetapkan sendiri dan kami tidak boleh merungut apabila kalah.

"Kami memiliki 12 peluang dalam separuh masa kedua. Sentiasa ada peluang untuk bangkit dan memenanginya tetapi apabila anda membunuh permainan sendiri selepas 45 minit, ia menjadi semakin sukar.

"Jika kami terus beraksi seperti ini, kami akan kalah di Southampton dan kemudian kami akan dibelasah lagi di Santiago Bernabeu."