Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara Arsenal dan Wolves malam esok terpaksa dibatalkan berikutan penularan jangkitan COVID-19 dan kecederaan pemain dalam skuad bimbingan Bruno Lage itu.

Wolves memohon untuk perlawanan itu ditangguhkan, di mana ia kemudian dipersetujui oleh Premier League berdasarkan pasukan kendalian Lage itu tidak memiliki jumlah pemain yang mencukupi untuk diturunkan.

Terdahulu, aksi Wolves menentang Watford pada Boxing Day turut dibatalkan berikutan masalah jangkitan koronavirus dalan kem The Hornets.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Premier League berkata: "Pihak Lembaga Premier League menerima permohonan penangguhan perlawanan itu kerana Wolverhampton Wanderers tidak mempunyai bilangan pemain yang mencukupi untuk perlawanan (13 pemain padang dan satu penjaga gol) akibat kes COVID-19 dan kecederaan di kelab itu.

"Pihak lembaga mengeluarkan keputusan ini dengan segera bagi memberikan penjelasan buat kelab-kelab yang terjejas dan penyokong mereka.

"Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan gangguan yang dialami penyokong dalam waktu perayaan ini."

Arsenal, dalam pada itu, sedang berada di prestasi terbaik apabila membelasah Norwich City 5-0 di Carrow Road pada Boxing Day.