Sergio Aguero menegaskan persaraannya bukan satu tragedi ketika dia mengimbau kembali perjalanan karier gemilang yang mengajarnya untuk "menukar kekalahan kepada kemenangan".

Bekas penyerang Manchester City dan Barcelona itu mengumumkan persaraannya semalam selepas mengalami masalah jantung.

Aguero mengalami kesakitan di dadanya dan berasa mual -- yang kemudian disahkan berpunca daripada masalah aritmia jantung -- ketika Barcelona terikat 1-1 dengan Deportivo Alaves pada 30 Oktober lalu.

Selepas mendengar nasihat pakar, Aguero -- yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman City -- menerima hakikat bahawa dia tidak lagi dapat bermain memandangkan risiko terhadap kesihatannya terlalu besar.

Namun, walaupun terpaksa bersara secara mengejut, individu berusia 33 tahun itu menegaskan bahawa dia akan sentiasa mengimbau perjalanan hebat kariernya dan mengenang setiap pelajaran yang telah diperolehnya daripada bola sepak.

"Saya sentiasa sedar bahawa saya akan memberikan segala-galanya untuk bermain semula," kata Aguero dalam satu kenyataan menerusi ciapan Twitter.

"Bagaimanapun, selepas pemeriksaan terakhir, saya dinasihatkan oleh doktor agar berhenti daripada bola sepak profesional.

"Kata-kata mereka sudah cukup untuk saya membuat keputusan. Bersara dengan keadaan seperti ini amat sukar tetapi nyawa perlu diutamakan -- saya menyedarinya sejak dari awal.

"Salah satu daripada banyak perkara yang saya pelajari daripada bola sepak adalah anda boleh mengubah kekalahan kepada kemenangan. Ia tidak akan berubah. Ia pasti menyakitkan tetapi ia bukan satu tragedi.

"Tragedi boleh jadi satu perkara lain. Fikiran saya bukan mengenai tempoh saya dapat bermain tetapi ia adalah mengenai 18 tahun yang cukup indah sewaktu saya bermain.

"Karier yang luar biasa ini akan kekal bersama saya dan dengan itu, saya akan membawa minat dan dedikasi saya bagi tahun-tahun mendatang.

"Dan waktu di Independiente, Atletico Madrid, Manchester City, Barcelona dan skuad kebangsaan Argentina akan sentiasa dekat di hati saya.

"Pengiktrafan saya kesemuanya buat peminat saya, yang sentiasa berada di samping saya pada waktu sukar dan senang -- sokongan anda membuatkan saya lebih kuat," katanya.