URAWA REDS DIAMONDS JDT 0

Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa akur dengan ketangkasan Urawa Red Diamonds apabila tunduk 0-5 dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL), sebentar tadi.


Juara Liga Super itu berdepan tempoh sukar dalam 25 minit awal pertembungan di Stadium Saitama itu apabila melepaskan dua gol daripada situasi bola mati -- sepakan penalti dan sepakan percuma daripada Alexandar Scholz dan David Moberg Karlsson.

Beberapa keputusan pengadil perlawanan, Christopher Beath, daripada Austalia turut membantutkan usaha JDT menyusun permainan sebelum Harimau Selatan dihukum kali ketiga pada minit ke-39 menerusi satu gerakan menarik yang disudahkan Karlsson.




Tatkala anak buah Hector Bidoglio itu cuba mengurangkan defisit gol, jelas pengalaman sulung di peringkat kalah mati berkenaan menjadi satu kenyataan pahit apabila dibolosi dengan dua gol lagi di penghujung permainan.

Kekalahan besar ini mengulangi keputusan JDT ketika bertemu pencabar dari Jepun, Kawasaki Frontale, di peringkat kumpulan, April lalu.