Juara beregu dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melangkaui jangkaan peminat muncul sebagai finalis Terbuka India, semalam.

Walaupun tewas 21-14,19-21,18-21 kepada gandingan China, Liang Wei Kang-Wang Chang -- ia tetap boleh dikira sebagai pencapaian baik buat beregu utama kebangsaan itu selepas terkandas dalam pusingan kedua Terbuka Malaysia, minggu lalu.




Justeru, Wooi Yik menaruh harapan corak permainan mereka akan terus berkembang menjelang kempen Masters Indonesia minggu ini.

"Kami lebih bersedia untuk menghadapi taktikal pihak lawan memandangkan mereka mempunyai kepelbagaian dalam permainan, bukan sekadar serangan dan kekuatan.

"Kami menyedarinya dalam set ketiga jadi kami menjadikannya sebagai satu pelajaran.

"Kami akan balik dan menganalisanya," kata Wooi Yik selepas pertarungan semalam.